Tegakkan pemerintahan yang mempertahankan Islam (0)

7:48 AM by , under

SATU perkara yang wajib diketahui dan diamalkan oleh umat Islam daripada pengajaran peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w ialah mendirikan negara Islam yang mendaulatkan syariat Allah SWT dan kewujudan daulah Islamiah itu menjadi salah satu daripada ajaran Islam. Semasa masih ada di Makkah, Rasulullah s.a.w telah ditawarkan dengan berbagai-bagai tawaran di antaranya ialah Rasulullah s.a.w akan dilantik menjadi pemimpin tertinggi Makkah sekiranya Rasulullah s.a.w sanggup meninggalkan dakwah Islam dan membiarkan agama menyembah berhala terus berjalan.

Rasulullah s.a.w menolak tawaran ini dan terus berhijrah ke Madinah kerana di Madinah,penduduknya menerima Islam sebagai agama mereka, sanggup mempertahankan Rasulullah s.a.w dan sanggup menyerahkan tanah air mereka menjadi tapak mendirikan negara Islam yang di dalamnya tertegak syariat Allah SWT dan sanggup pula mempertahankan daulah Islamiyyah yang dibina itu dengan nyawa dan darah mereka.


Tidak sebagaimana di Madinah, penduduk Makkah hanya mahu menyerahkan kuasa pemerintahan sahaja kepada Rasulullah s.a.w tetapi tidak akan membiarkan Islam berkembang biak dan syariat Islam dilaksanakan, dengan itu tidak memungkinkan negara Islam sebenar dapat ditegakkan.


Apabila tiba di Madinah Rasulullah s.a.w mempersatukan orang-orang Muhajirin dan Ansar di atas persaudaraan ibadat dan Islam yang lebih tinggi darjat dan kekuatannya berbanding dengan perhubungan darah keturunan. Kemudian Rasulullah s.a.w membina masjid sebagai tempat ibadat dan lebih jauh daripada itu tempat pentadbiran negara Islam.


Selepas itu Rasulullah s.a.w mengadakan perjanjian yang dinamakan piagam Madinah yang merupakan perjanjian antara pemerintah Islam dan rakyat yang terdiri daripada orang-orang Islam sendiri dan perjanjian dengan rakyat yang bukan Islam tetapi berada di bawah kerajaan Islam. Rasulullah s.a.w telah menyediakan segala keperluan bagi memungkinkan kewajipan sebagai sebuah negara dan dijadikan dasar negara itu ialah hukuman Allah SWT.


Firman Allah yang bermaksud:


“Dan berhukumlah (dalam perselisihan) di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah”. (Surah Al-Maidah ayat 49)


Kitab Injil yang diterima oleh nabi Isa daripada Allah SWT telah diselewengkan oleh ahli kitab sehingga Injil yang satu itu menjadi beratus-ratus buah (dengan pelbagai nama) yang setiap satunya bercanggah dengan yang lain. Ajaran kristian ini dibawa ke Eropah. Apabila berlakunya pertembungan antara golongan gereja dan golongan istana, maka dipisahkan diantara gereja dan istana yang membawa ajaran pemisahan antara agama dan pemerintahan.


Kemudian apabila ada orang-orang Eropah belajar di negara Islam seperti di Andalus dan Baghdad, mereka membawa ilmu ke Eropah. Paderi-paderi kristian telah menolak ilmu-ilmu tersebut yang akhirnya membawa kepada pemisahan antara ilmu duniawi dengan ajaran kristian. Hasilnya lahirlah pula ajaran sekular yang memisahkan ajaran agama dan kehidupan dunia kecuali dalam soal keagamaan di gereja-gereja sahaja.


Ajaran ini pula dibawa ke dalam dunia kecuali dalam negara-negara umat Islam oleh penjajah-penjajah kristian yang menjajah umat Islam sehingga sebahagian umat Islam menganggap Islam itu hanyalah upacara ibadat perseorangan sahaja seperti sembahyang, puasa, membaca al-Quran dan majlis-majlis zikir.


Apabila Turki menerima pembaratan selepas jatuhnya Khilafah Islamiah yang terakhir dengan dibatalkan undang-undang Islam dan diganti dengan undang-undang kafir sehingga Islam tidak lagi memerintah, maka Syeikh Al-Islam Turki yang terakhir iaitu Almarhum As-Syeikh Mustafa Al Basri telah menegaskan dalam bukunya ... sekularisma yang memisahkan ajaran agama dengan kehidupan dunia merupakan jalan paling mudah untuk menjadi murtad.

Apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w kemudian diikuti oleh umat Islam selepasnya dan menjadi sebahagian daripada ajaran Islam. Oleh itu selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, para sahabat menyambung kewajiban itu dengan mereka melantik Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang akan menggantikan baginda dalam menjalankan pemerintahan negara Islam.


Oleh itu satu mesyuarat telah diadakan untuk melantik seseorang khalifah Islam walaupun pada masa itu jenazah Rasulullah s.a.w belum lagi dikebumikan.Itu semua menunjukkan betapa wajibnya mendirikan negara Islam dan kewajiban ini sebahagian daripada ajaran Islam. Adapun pemikiran umat Islam pada hari ini lain pula jadinya apabila mereka menolak ajaran politik dan pemerintahan termasuk di dalam kewajipan Islam dan ajarannya.


Fahaman ini adalah menyeleweng dariapda ajaran Islam, kerana ajaran yang mengatakan bahawa politik suku, ajaran Islam suku merupakan fahaman yang dihasilkan daripada penyelewengan oleh ahli kitab terhadap ajaran yang dibawa oleh nabi Isa a.s.. Nabi Isa a.s telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya beramal dengan kitab Taurat dan kitab Injil pada masa yang sama. Apabila nabi Isa a.s diangkat oleh Allah SWT, pengikut-pengikut setia baginda yang bergelar Khawariyun telah menerima tekanan dan penyeksaan sehingga memaksa mereka mengasingkan diri daripada masyarakat.


Akhirnya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Isa telah diselewengkan oleh orang-orang yang jahil dan mempunyai kepentingan diri yang kemudian ajaran yang direka itu dinamakan agama kristian. Kita perlu sedar bahawa apabila pemerintahan dipisahkan daripada agama bermakna membatalkan hukum qisas, hudud dan ta’zir, serta mempersendakan, samada jahil atau tahu, menyebabkan seorang itu boleh menjadi murtad.


Dengan itu juga Islam dan aqidah umat Islam tidak dilindungi sebagaimana apa yang telah diucapkan oleh al Imam Al-Ghazali: “Agama itu asas, pemerintah adalah penghulunya. Maka apa yang tidak ada asas akan runtuh dan apa yang tidak ada penghulu akan hilang”. Kita dapat lihat bahawa dengan ditinggalkan ajaran Islam mensabitkan berlakunya segala kemungkaran.


Ini kerana negara Islam itulah yang akan mendaulatkan syariat Allah dan menjaga agamanya bermula dengan ibadat, muamalat, munakahat, jenayat dan menjaga ibadat umat Islam.
Firman Allah bermaksud:


“Orang-orang yang jika kami memperkukuhkan (menjadikan mereka memerintah) di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyeru perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah akibat (kesudahan) segala sesuatu”. (Surah Al-Haj ayat 41).


Marilah kita semasa menyambut peristiwa hijrah supaya kembali kepada Islam khususnya kembali kepada satu kewajiban yang telah dilupakan oleh umat Islam iaitu mendirikan negara yang mendaulatkan syariat Islam.


“Sesungguhnya kami telah menurunkan kepada engkau akan kitab dengan sebenarnya supaya engkau menghukum di antara manusia dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Allah dan jangan kamu menjadi penolong orang-orang yang khianat”. (Surah An-Nisa ayat 105) .


Dipetik dari :
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang



edit post

0 Reply to "Tegakkan pemerintahan yang mempertahankan Islam"

Post a Comment