Mencipta kerangka baru pergerakan GAMIS (0)

1:38 PM by , under

Dipetik dari laman Mahasiswakini
Pendahuluan

Sebagaimana yang diketahui umum, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah menjadi teras dan nadi bagi gerakan mahasiswa di Malaysia ini sejak lebih sedekad yang lepas. Dalam keadaan penubuhan front yang pelbagai baik di peringkat kampus mahupun nasional, GAMIS masih merupakan peneraju & penggerak bagi setiap front tersebut.

Hakikat ini secara asasnya telah pun diakui oleh sebilangan besar aktivis-aktivis mahasiswa secara keseluruhannya tatkala melihat GAMIS tidak pernah gagal dalam melahirkan penggerak & pelapis bagi setiap generasi.Dan kerana itu jugalah, GAMIS tidak pernah teragak-agak untuk melakukan transformasi perubahan dalam pola gerakan yang dipacu, sesuai dengan situasi & keadaan semasa. Lantas, pendaftaran GAMIS sebagai NGO yang berdaftar dibawah Ikatan Amanah telah menjadi satu titik tolak sebenarnya kepada perubahan yang ingin direncana, walaupun pada peringkat awalnya ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Oleh yang demikian, untuk membuat halatuju baru dalam gerakan mahasiswa, ianya perlu bermula di peringkat GAMIS sendiri. Sejarah telah membuktikan, seandainya GAMIS beraksi secara agresif & berani dalam memacu gerakan, maka rakan-rakan aktivis dalam front-front mahasiswa yang lain akan ikut sama laju & agresif dalam membawa gerakan. Justeru, suatu halatuju gerakan baru perlu dirangka supaya GAMIS akan terus relevan untuk memacu gerakan mahasiswa di Malaysia.

Transformasi Dalam Memacu Gerakan Mahasiswa Islam
Dalam 5 tahun kebelakangan ini, penulis melihat bahawa halatuju GAMIS dalam membawa gerakan telah terikut-ikut dengan teori media yang agak berlebihan & tidak memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat awam & masyarakat kampus sendiri.Penulis tidaklah menafikan kelebihan yang boleh kita peroleh melalui manipulasi media, cuma situasi ini secara sedar atau tidak telah mengheret gerakan mahasiswa kepada suatu kancah yang mudah dan hilang taringnya sedikit demi sedikit.

Masakan tidak apabila suatu event di peringkat gerakan masih dianggap berjaya dengan partisipasi 7 ke 8 orang dengan syarat, media banyak yang hadir untuk membuat liputan!
Penulis secara asasnya bersetuju dengan peranan media dalam konteks membawa gerakan, tetapi tidaklah meninggalkan mekanisme didikan secara melata & mobilasi besar yang konsisten dalam mengekalkan ruh gerakan yang sebenar.

Tidak sekadar itu, pendekatan yang diambil oleh mahasiswa dalam membawa gerakan juga lebih banyak terikut-ikut dengan artis yang lebih bertujuan untuk meraih populariti berbanding melagangkan idealisme dalam kerangka yang intelek.Lebih memburukkan keadaan apabila suatu gerakan yang sepatutnya bersifat kolektif hanya mendapat partisipasi kampus secara terpilih & berkelompok sahaja, tidak bersifat menyeluruh & melata di segenap sisi, baik di seluruh Semenanjung, mahupun Sabah & Sarawak sendiri.

Bagi penulis hal ini ialah suatu yang tidak sihat bagi gerakan GAMIS, kerana dengan kapasiti ahli yang ramai, maka sudah tentunya keterlibatan yang bersifat menyeluruh dengan kefahaman pada tahap optimum diperlukan oleh seluruh ahli gerakan GAMIS sendiri dalam mencanai gerakan yang lebih menyengat. Mudah kata, apa yang difahami, difikir, & diolah oleh sang presiden, begitulah juga yang difahami oleh ahli kebanyakan di seluruh pelusuk kampus.

Tidak berhenti setakat itu, kondisi GAMIS sendiri yang memilih stail gerakan yang telah diisi kelompangannya oleh kelompok lain telah menyebabkan gerakannya walaupun hebat di peringkat mahasiswa semasa, tapi masih gagal dalam mempengaruhi masyarakat dalam konteks yang lebih besar. Sebagai contoh, keberjayaan GAMIS menghimpunkan seramai 3000-4000 mahasiswa sewaktu perhimpunan membantah serangan Israel tempoh hari sudah merupakan suatu mobilasi yang hebat di peringkat mahasiswa pada period ini. Namun, harus diingat bahawa gerakan GAMIS bukan untuk mahasiswa sahaja, bahkan untuk rakyat keseluruhan.

Justeru, walaupun mobilasi tersebut kelihatan gah di peringkat mahasiswa, namun di peringkat masyarakat yang lebih besar, ianya ibarat butiran pasir di dalam timbunan bukit; jauh keberhasilannya, bahkan tidak meninggalkan impak dalam masyarakat. Hal ini kerana masyarakat pada hari ini sudah biasa dengan mobilasi ke medan lapangan demonstrasi. Bahkan sekadar untuk mencapai jumlah 100,000 orang pun, sudah merupakan perkara yang biasa.

Oleh yang demikian, GAMIS kena berubah dalam mengambil sisi perjuangan yang tidak lagi diisi oleh mana-mana pihak. Kalaupun sukar untuk menganalisis, GAMIS boleh memilih untuk memperhebatkan lagi gerakan yang masih tidak sempurna.Sebagai contoh, gerakan dakwah di Malaysia. Sehingga kini, belum ada lagi mana-mana gerakan mahasiswa yang mengambil sisi islah ini secara agresif dalam merubah masyarakat. Mungkin ada, tapi kebanyakannya lebih bersifat bermusim & ’suam-suam kuku’. Atau contoh yang lain ialah, memperjuangkan supaya selatan Thai ‘dipulangkan’ kembali kepada Malaysia, kerana tanah itu pada suatu ketika dahulu merupakan sebahagian daripada Darul Islam yang hebat di Tanah Melayu Mungkin agak gila idea yang penulis lontarkan, namun itulah satu lontaran yang bersifat tersendiri bagi pengamatan penulis dalam konteks gerakan semasa. Bahkan, GAMIS melalui gerakan yang ‘lain dari yang lain’ seperti ini pastinya tidak perlu terhegeh-hegeh untuk mendapatkan publisiti media, bahkan medialah yang akan mencari GAMIS untuk mengetahui perkembangan gerakan yang unik ini.

Institut Pemikiran Umar al-Khattab & Institut Pemikiran Mus’ab bin Umair
Secara umumnya dua institut ini merupakan perkara yang sangat baru & sangat menarik pada pengamatan penulis terhadap survival gerakan mahasiswa yang diterajui oleh GAMIS dalam dekad-dekad yang akan datang. Masakan tidak apabila kedua-dua institut ini di sediakan khusus dalam menyediakan figure pelapis yang cukup kompeten untuk memimpin Malaysia & ‘hujjatul Islam’ yang berwibawa pada masa hadapan.

Namun ada beberapa hal yang perlu dicermati oleh seluruh kader-kader Islam dalam GAMIS sendiri. Pertamanya, pembinaan future leader dalam Institut ‘Umar Al-Khatab hendaklah tidak hanya terbatas dalam proses untuk membina kepimpinan yang bersifat lokal semata-mata sebagaimana yang diusahakan oleh Akademi Pemuda Umno .Tuntasnya, GAMIS pada jangka masa panjang sudah sewajarnya untuk memikirkan kelahiran kepimpinan yang mampu menakluk dunia. Ya, memang bukan suatu perkara yang mudah. Akan tetapi, ianya bukan juga perkara yang mustahil.

Jika seandainya golongan yahudi yang dibenci oleh hampir keseluruhan umat dunia pun mempunyai perancangan yang cukup rapi dalam menyediakan kepimpinan yang boleh ‘memegang’ dunia, maka sudah pastilah pada pandangan penulis Institut Pemikiran ‘Umar Al-Khattab perlu direncanakan sehingga ke tahap itu.

Institut Pemikiran Mus’ab bin Umair juga perlu dihalakan lebih jauh daripada sepatutnya. Dengan aim untuk melahirkan pendakwah sehebat Sheikh Ahmad Deedat, GAMIS sudah sewajarnya mampu mengisi kelompangan kefahaman Islam dikalangan warga rakyat pada masa hadapan.

Justeru pada pengamatan penulis, training yang diberikan dalam institut ini tidak cukup seandainya diberikan dari sudut ilmu penghujahan semata-mata. Akan tetapi keberanian & kekuatan jiwa sang mujahid Islam perlu dipasakkan agar mereka kelak mampu lahir sehebat Mus’ab Ibn Umair.

Kita tidak mahu lagi selepas ini hendaknya, pendakwah-pendakwah yang keluar tidak mampu menjadi benteng dalam mempertahankan hujah-hujah Islam disebabkan kecilnya jiwa & kurangnya keberanian dalam berhujah. Lebih bijak pada pengamatan penulis sekiranya pendakwah-pendakwah masa hadapan ini dibekalkan dengan kefasihan bahasa yang pelbagai.

GAMIS & Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
GAMIS telah menganggotai SMM sejak badan koalasi itu ditubuhkan lagi. Bahkan tokoh-tokoh yang memimpin SMM keseluruhannnya datang dari kader GAMIS sendiri. Antaranya ialah Khairol Anuar Mat Zuki, Muhd Ramadhan Fitri Elias, Rifa’uddin, Mohd Nazree Mohd Yunus, Sheikh Umar Bagharib, dan yang terkini Muhammad Haafizuddin Abirerah.

Namun mutakhir ini, keterlibatan GAMIS pada pandangan penulis sekadar keterlibatan individu, bukan keterlibatan organisasi gerakan secara keseluruhannya. Kerana itulah kita lihat tiada lagi kesepaduan antara front-front mahasiswa lain terhadap isu bersama yang ingin dibawa. Kebanyakannya lebih bersifat sendiri-sendiri. Kerana itu jugalah penulis berpendapat bahawa SMM perlu diberi nafas baru dengan gerakan yang lebih tersusun & kemas. GAMIS perlu proaktif dalam hal ini. Bukanlah suatu yang sihat apabila GAMIS berpendirian bahawa batang tubuh GAMIS boleh melakukan semua hal yang berkaitan aktivisme mahasiswa.

Kesepakatan dengan front-front mahasiswa lainnya perlu diperkemaskan semula. Suatu penjelasan sikap perlu dilakukan anatara GAMIS & seluruh front-front yang bernaung di bawah SMM. Ketumbukan gerakan mahasiswa yang hebat hanya akan berjaya sekiranya GAMIS berjaya menyatukan seluruh gerakan mahasiswa pada satu fokus secara bersama. Dan lagi, gerakan SMM untuk jangka waktu hadapan juga sudah sampai tahap memperjuangkan model Malaysia yang sepatutnya dalam kerangka sekarang & akan datang. Sudah tiba masanya GAMIS & SMM turun ke seluruh pelosok lapangan dalam ‘menjual’ idealisme mereka itu sehingga menjadi fenomena yang bakal berhasil melahirkan Malaysia Baru dalam konteks kemahuan mahasiswa & anak muda lainnya.

Kesedaran perlu diperhebatkan. Penulis percaya, dengan ‘pencairan’ kefahaman yang optimum di semua peringkat, SMM mampu menjadi pioneer kepada perubahan bentuk model Malaysia di masa hadapan. Kalaupun peringkat pertama gerakan ini tidak berjaya mempengaruhi rakyat secara keseluruhannya, setidak-tidaknya kefahaman yang diusahakan benar-benar ‘cair’ dalam minda & fikrah seluruh mahasiswa di Malaysia.

Medannya, sudah pastinya dalam bentuk yang pelbagai. Namun aspek perdebatan & dialog pada pengamatan penulis merupakan medium kontemporari yang cukup absah dalam membawa kefahaman ini. Ajarlah seluruh mahasiswa untuk mencabar minda & akalnya supaya Gerakan Mahasiswa akan lebih gemilang pada pasca gelombang perubahan ini.
* Tajuk asal artikel di atas adalah Halatuju baru gerakan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS): Suatu Analisis dan Saranan.
^ Penulis merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan Speaker GAMIS.

—————–



edit post

0 Reply to "Mencipta kerangka baru pergerakan GAMIS"

Post a Comment